Ketua Pemuda Pas Puchong Cuba Mencari Markah Bonus!!

Dengan bermacam persoalan berbangkit dari cerita hutang berjumlah RM66 juta Khalid Ibrahim kepada Bank Islam sehinggalah kepada kes penjualan asset oleh PKNS yang tidak pernah dijawab oleh Khalid Ibrahim sendiri, mengapa Ketua Pemuda Pas Puchong tidak melaporkan kepada polis atau sekurang-kurangnya mendesak Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Selangor itu dahulu? Adakah Ketua Pemuda Pas terhutang budi kepada Khalid Ibrahim kerana memberi peluang kepada Pas dalam menguruskan peruntukan DUN Seri Serdang? Atau Ketua Pemuda Pas Puchong ini telah lama mengalirkan air liur kerana ingin menjadi calon Pas di Puchong dan menggunakan kesempatan ini untuk melonjakkan nama beliau didalam Pas kawasan Puchong? Atau juga Ketua Pemuda Pas Puchong ini mahu menutup masalah dalaman Pas kawasan Puchong yang dilihat lembab dan sembab?


Sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Puchong, saya melihat Pas Puchong telah hilang punca,ketandusan isu dan usaha membuat gerak kerja pilihanraya khususnya di Puchong. Ini lebih diburukkan lagi dengan masalah dalaman parti yang tidak pernah sehaluan. Dewan Pemuda Pas Puchong dilihat besar kepala dan tidak dapat menerima pandangan serta pendapat orang lain. Ini diakui sendiri oleh beberapa sahabat saya didalam Pas Puchong.


Isu penyelewengan didalam pemilihan jawatan kuasa Pas Puchong sesi 2011-2013 masih belum kendur diperkatakan. Masakan tidak?ada wakil yang membantah keputusan pemilihan dengan mengatakan berlakunya penyelewengan undian kepada pihak pengurusan demi untuk mencari kebenaran tetapi wakil itu pula dimarahi. Bukan setakat dimarahi,wakil itu juga dihebahkan sebagai tali barut UMNO didalam Pas Puchong. Malah PASTI yang dikendalikan oleh wakil yang membuat bantahan tersebut dinafikan hak beroperasi dengan disekat segala kemudahan dan tidak dibenarkan mendapatkan buku dari PASTI kawasan Puchong. Siapa yang menjadi pengurus kepada PASTI kawasan Puchong? Tidakkah Dewan Pemuda Pas Puchong merasa sedikit bertanggung jawab dalam berpolitik dengan tidak membabitkan kanak-kanak didalam hal politik semasa? Inikah sikap yang ditonjolkan dalam kepimpinan Pemuda Pas Puchong oleh saudara Rosharizan yang mengajar kepada ahli pemudanya untuk berpolitik tidak kira apa juga keadaan,tempat dan siapa yang mendapat tempias keputusan politik yang kita buat.


Saya tidak bercadang untuk menulis lebih panjang mengenai isu –isu dalaman mahupun kegagalan Pas Puchong dalam membantu menyelesaikan masalah masyarakat setempat pada entri kali ini. Cukup sekadar memberi nasihat kepada saudara Rosharizan supaya berlaku lebih jujur dalam mencari kebenaran dan keadilan. Terlalu banyak soalan yang diajukan oleh Dato’ Satim sebagai Ketua Pembangkang Selangor tidak dijawab oleh Menteri Besar . Desak dahulu Menteri Besar Selangor menjawab berbagai persoalan yang diajukan sebelum cuba untuk mendesak orang lain menjawab soalan yang baru ditanya.


Jangan terlalu bermain politik adu-domba kerana parti yang mana anda terajui sayap pemudanya kian menghampiri tarikh luput di Puchong.

Azmir Yuzaimi Mohd Yunos
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Puchong

Read more