Beradab sebagai tetamu Allah

oleh Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki

KEKESALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof terhadap seorang ahli perniagaan yang berpakaian seperti wanita ketika mengerjakan umrah di Tanah Suci baru-baru ini wajar dijadikan pedoman dan iktibar buat kita semua.

Ini kerana, perkara sebegini menimbulkan ketidakselesaan daripada beberapa jemaah umrah yang melihat sendiri perkara berkenaan. Selain itu juga, perbuatan itu dilihat kurang sesuai memandangkan tindakan menceroboh ruang yang ditentukan untuk wanita.

Tambahan pula, ketika seseorang berada di Tanah Suci tempat yang diberkati dan dimuliakan Allah SWT, mereka haruslah menjaga adab dan tatasusila selaku bergelar tetamu Allah.

Merujuk ‘Qamus Mu‘jam Lughat al-Fuqaha’, lelaki yang menyerupai perempuan dalam bahasa Arab disebut sebagai al- mukhannas. Ia bermaksud lelaki yang menyerupai wanita dalam cara berjalan, bercakap, kemanjaan dan kelembutannya.

Secara umumnya, ada dua kategori mukhannas dalam syarak. Pertama, mukhannas yang bersifat semula jadi iaitu lelaki yang mempunyai perwatakan wanita pada cara percakapan, kelembutan anggota dan kecelaruan fizikal. Mereka tidak mempunyai nafsu terhadap wanita serta tidak dikenali terbabit dengan perbuatan keji.

Oleh itu mereka tidak dianggap fasik dan tidak termasuk dalam lingkungan mereka yang dilaknat dalam hadis Rasulullah SAW.

Kategori kedua adalah mana-mana lelaki yang sengaja berperilaku dan bertindak sebagai perempuan dalam gerak-geri dan rupa diri (cara berpakaian, berhias dan perhiasan) menyerupai wanita pada rupa bentuk tubuhnya dan cara bercakap.

Ia dianggap sebagai perbuatan buruk, melakukan maksiat dan pelakunya dianggap berdosa serta tergolong dalam mereka yang dilaknat.

Oleh yang demikian, jantina mukhannas bagi kategori kedua ini adalah lelaki. Penentuan ini didasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan mengekalkan hukum berdasarkan asal sesuatu.

Syariat Islam sentiasa dibina di atas kebiasaan umum. Justeru, mana-mana lelaki yang sengaja berperilaku sebagai perempuan dalam gerak-geri dan rupa diri pada hakikatnya dan asalnya adalah lelaki. Oleh itu, hukum adalah dikembalikan kepada asal lelaki.

Bagi mana-mana mukhannas yang sengaja menukar jantina mereka adalah satu perbuatan yang haram sekiranya dilakukan tanpa sebab yang kukuh. Ini kerana perkara berkenaan sudah mengubah ciptaan Allah SWT.

Berdasarkan ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) Kali ke-4 yang bersidang pada 1982 membuat keputusan bahawa pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak.

Selain itu, seseorang yang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki walaupun ia berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan.

Dalam konteks golongan ini ketika menjalani ibadat haji dan umrah, berdasarkan kesimpulan yang diberikan oleh dua pakar rujuk ibadah haji Tabung Haji, Datuk Razali Shahabudin dan Dr Anisah Ab Ghani dalam kajian mereka berjudul Pelaksanaan Haji dan Umrah Bagi Golongan Khunsa dan Mukhannas menyebutkan bahawa mukhannas, sama ada yang semula jadi atau yang disengajakan pada hakikatnya adalah lelaki, maka hukum ibadat hajinya adalah hukum ibadat haji lelaki dalam semua perkara.

Sungguhpun begitu, sekiranya terdapat keperluan untuk menempatkan mukhannas semula jadi yang tiada syahwat terhadap perempuan di tempat yang sama dengan wanita adalah dibolehkan sekiranya terdapat beberapa keperluan. Hal ini berdasarkan kepada pendapat fuqaha yang memberikan keringanan kepada mukhannas kategori ini bergaul dengan wanita.

Namun, sebaliknya bagi mereka yang sengaja menjadi mukhannas sama ada menukar jantina atau tidak, tidak boleh sama sekali ditempatkan bersama dengan wanita.

Penulis adalah penuntut Universiti Sains Malaysia (USM)

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker