Sempadan Negara Berharga RM2!

Masih di dalam mood Hari Lebaran, penulis semalam sempat mengunjungi beberapa rumah sanak saudara di sekitar Changloon, Sintok, Asun dan Bukit Kayu Hitam di Kedah. Kesempatan itu menemukan penulis dengan saudara mara yang kebanyakkannya “bekerja kampung” dan terlibat dengan tugasan menjaga sempadan negara di Bukit Kayu Hitam. Saudara mara saya ini begitu rancak bercerita tentang pengalaman mereka berkenaan dengan “sempadan negara” yang semakin “longgar” dan “goyah”. Dengan hanya RM2 sahaja, sesiapa sahaja boleh bebas keluar masuk sempadan Malaysia-Thailand.

Sebelum ini, penulis ada beberapa kali ke Kompleks Bebas Cukai yang terletak di Bukit Kayu Hitam. Penulis ada terserempak dengan pasukan keselamatan yang segak berpakaian seragam menggalas M16 dan bersenjata canggih. Selain itu, unit UPP pula sentiasa membuat “road block” bagi memeriksa kenderaan keluar masuk di sempadan. Dengan prasarana yang teratur di sempadan Bukit Kayu Hitam, penulis yakin dengan tahap siap siaga pasukan keselamatan negara mengawal sempadan dan kedaulatan negara dari dicerobohi oleh unsur-unsur jenayah luar.

Namun, adalah mengejutkan penulis apabila dikhabarkan saudara mara bahawa senario di pintu besar sempadan negara itu hanyalah wayang semata-mata! Dengan RM2, kita bebas untuk memasuki Thailand tanpa passport? Pihak keselamatan di kedua-dua negara sudah “biasa” dengan amalan “passport Rm2” itu. Biasa bagi mereka, namun “luar biasa” bagi penulis.

Selain itu, saudara penulis juga mengeluh tentang tangkapan-tangkapan yang dibuat oleh rejimen sempadan negara di Bukit Kayu Hitam. Tahanan-tahanan yang cuba menyeludup masuk ke negara secara haram itu diserahkan kepada pihak PDRM. Namun selang beberapa hari, mereka menangkap kembali orang yang sama cuba menyeludup masuk negara itu. Orang yang sama? Tiada keberkesanan pada operasi mahupun penangkapan penceroboh sempadan negara itu. Saudara saya ini yang berkhidmat dengan Rejimen Askar Sempadan ATM ini sudah muak dengan peristiwa sebegini. Ada juga mereka menangkap cubaan menyeludup barangan seperti beras dan ternakan seperti lembu. Namun, lembu-lembu yang dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Haiwan itu kembali “bebas” apabila “tuan”nya yang juga di”bebas”kan bertemu dengan beberapa ketua jabatan atau individu yang berpengaruh. Pada penulis, perkara ini tidak lebih seperti mencurahkan air pada daun keladi. Buang masa dan tidak efektif!

Pada penulis, PDRM yang bertugas di sempadan negara hanyalah “sekadar ada”. Tugasan dan implimentasinya hanyalah “ala kadar” dan “mahu tak mahu” sahaja. Jika demikianlah cara pihak berkuasa menjaga sempadan negara, tidak hairanlah jika penjenayah seperti Raja Petra Kamaruddin (RPK) mudah lolos melarikan diri dari negara kita. Tidak hairanlah jika ada penjenayah dari Thailand yang bebas keluar masuk untuk membunuh atau menjadi pembunuh upahan di negara kita. Pintu Sempadan yang lengkap dikawal dengan M16 dan senjata canggih itu hanyalah “wayang” untuk mengaburi mata umum sahaja. Memang menyedihkan apabila kedaulatan negara dipermainkan sebegini.

Kita masih lagi terasa dengan kes “Pulau Batu Putih” yang terlepas ke tangan Singapura. Kita masih lagi diancam kemasukan pendatang tanpa izin dari Indonesia, Filiphina, Kemboja dan sebagainya. Malah ada berdasarkan statistik jenayah, kemasukan pendatang tanpa izin inilah yang bertanggungjawab melakukan jenayah di negara kita. Jenayah pecah rumah, rompak bersenjata, samun, rogol, pukul, bunuh dan bakar, semua itu adalah begitu sinonim dengan kemasukan PATI ini. Dari mana mereka masuk jika tidak dari SEMPADAN!

Itu menunjukkan bahawa pengawalan sempadan adalah perkara penting yang perlu dititik beratkan oleh pihak berkuasa. Pada penulis, PDRM adalah kurang sesuai diletakkan harapan untuk mengawal pintu sempadan negara. Mereka tertakluk kepada kuasa Kementerian Dalam Negeri yang terhad di dalam negara sahaja. Jika disebut perkataan “rasuah”, pasukan keselamatan manakah yang akan terbit diminda kita? Tentunya PDRM dan KDRM, bukan? Jika tidak masakan pula pihak Kerajaan terpaksa melaksanakan kempen “anti rasuah” pada PDRM & KDRM? Merata-rata “sticker” dan lencana kempen anti-rasuah ini ditampal dan ditempek. Namun perkataan dan aktiviti “rasuah” itu masih sukar dikikis dari mereka. Intergriti mereka masih lagi dipersoalkan umum.

Pada penulis, kedaulatan sempadan negara ini haruslah diberikan secara mutlak kepada Unit Rejimen Sempadan ATM. Selama ini, Rejimen ini beroperasi di beberapa sempadan negara yang “kritikal” sahaja. Sudahlah begitu, setiap penangkapan yang dilakukan, diserahkan bulat-bulat kepada pihak lain. Kemudian dalam beberapa hari, semua yang ditahan itu terlepas? Penjenayah begitu “bebas” keluar masuk sempadan negara. Pada penulis, sikap nasionalisma yang terpahat di dada pihak tentera negara belum pernah dipertikaikan umum. ATM begitu komited dan tegas dalam menjalankan tugasan yang diberikan. Ketegasan itu mampu menggerunkan semua pihak!

Penulis lebih yakin jika segala urusan pengawalan pintu sempadan ini diserahkan kepada pihak ATM. Berikan mereka kuasa yang ada pada pihak PDRM yang mengawal sempadan negara. Penulis yakin bahawa anggota tentera kita ini bukanlah berharga RM2, RM2000 atau RM2 juta sekalipun. Ketegasan, kepatuhan undang-undang dan misi yang dilaksanakan selama ini belum pernah dipertikaikan. Cubalah tembusi benteng ATM jika berani berdepan dengan “sarjan hassan”!

Penulis kagum dengan cadangan saudara penulis yang satu ini. Dia mencadangkan agar sebuah pasukan di”station”kan disetiap pulau yang terletak di sempadan negara dan pulau-pulau di perairan antarabangsa yang masih menjadi pertikaian. Letakkan saja tentera kita disana mahupun 10 orang. Selain itu, letakkan pula satu pasukan Renjer beberapa kilometer dibelakang sebagai “second layer”. Jika terdapat sebarang ancaman luar, pasukan Rejimen Sempadan dihadapan dapat memberikan tentangan manakala pasukan Renjer sempat melakukan persediaan untuk meyerang balas. Taktik “tulang ikan” ini menurutnya sering dipraktikkan di sempadan negara-negara yang sering diancam pihak musuh dan lanun. “Old fashion, but very effective”!

Pendapat penulis diterima baik oleh saudara mara. Penulis berpendapat, biarlah ATM sahaja yang mengendalikan sebarang kes di sempadan negara. Tak kira sama ada kes penyeludupan mahupun pencerobohan, biarlah ditangani oleh pihak ATM. Biarlah ATM saja yang mengajar pendatang tanpa izin dengan tembakan “machine-gun” dan M16 mereka. Biarlah ATM saja yang menghalau mereka dari merapati sempadan negara. Kalau berani, masuklah! Lihat saja bagaimana Singapura menangani masalah PATI. Baru saja bot tongkang dari luar masuk ke perairan mereka, sudah ditembak sehingga pecah tongkang tersebut. Jika PATI itu berenang merapati kawasan daratan mereka, mereka “tibai” dengan rotan dan belantan. Memang kelihatan kejam. Namun, asalkan perkara ini mampu mencegah rakyat mereka dari dirompak, disamun, dirogol dan dibunuh, mereka perlu melakukannya. Jika tindakan ini ditafsirkan kejam, biarlah, asalkan kedaulatan negara mereka dapat dipertahankan dari ancaman luar! Berani kerana benar. Undang-undang begini patut dikuatkuasakan di negara kita. Kasihan? Apakah mereka ini “kasihan” dan peduli apabila “Jalur Gemilang” dibakar dan di”najis”kan seperti yang berlaku di Indonesia baru-baru ini?

Sesungguhnya, kedaulatan negara bukanlah perkara kecil dan perlu dipandang remeh. Jangan tunggu sehingga kedaulatan negara kita dicemari sehingga kita hilang sebuah pulau demi sebuah pulau. Jangan biarkan kes “Pulau Batu Putih” berulang kembali. Jangan biarkan bajingan seperti RPK terlepas lagi. Jangan biarkan rakyat negara kita menjadi mangsa keganasan “shoot & run” penjenayah negara asing. Serahkan semua pintu sempadan negara kepada ATM untuk dikawal. Sempadan negara kita bukan berharga Rm2!

13 thoughts on “Sempadan Negara Berharga RM2!

  • September 13, 2010 at 4:44 PM
    Permalink

    sokong! mohon disampaikan usul ini kepada PM setelah sejumlah tandatangan dapat dikumpulkan.

    Janan hanya hangat2 tahi ayam aja, ok?

    Reply
  • September 13, 2010 at 5:12 PM
    Permalink

    Di sempadan kelantan pun perlu diberi perhatian juga sebab sana hanya dipisah oleh sebatang sungai..

    Reply
  • September 13, 2010 at 11:52 PM
    Permalink

    Sempadan negara kita tak kira darat atau laut semuanya BOCOR .
    Saya selalu keluar memancing paling kurang sebulan sekali berhampiran sempadan di Pantai Timur ,dah 15 tahun memancing ,sekali pun tak pernah nampak marine ke navy ke yang buat rondaan kat area situ. yang selalu jumpa bot siam 1 fleet adalah dalam 20 hingga 30 buah duk kaut hasil negara kita. siap boleh kaut hasil betul2 tepi oilrig . tu belum kira nelayan vietnam lagi.
    Pelik tapi itulah reality nya. Nelayan2 dah malas nak report berpuluh tahun tak ada tindakan.
    Kenapa tak ada tindakan , sendiri pikirlah.

    Reply
  • September 14, 2010 at 10:30 AM
    Permalink

    Imigresen penjaga sempadan kena upah warga Nepal, supervisor dari negeri yang bukan perlis, kelantan atau terengganu. Setiap 6 bulan kena tukar.

    Duit cukai berbillion2 belanja la lebih sikit pasal perkara ni, tu pun tak boleh fikir ke.

    Letak aje tentera darat beribu2 kat sempadan. Askar tak payah masuk hutan sgt la zaman sekarang ni, jaga sempadan lagi baik. Keselamatan negara lebih terancam dgn PATI dan kes2 penyeludupan.

    petugas imigresen yang tak amanah adalah pembelot bangsa dan negara patut dihukum jel di kawasan pulau yang sebesar pulau batu putih atau terus dilucutkan kewarganegaraan.

    Reply
  • September 14, 2010 at 12:46 PM
    Permalink

    tahniah kepada tuan penulis kerana berjaya mendapat petunjuk dan hidayahNya berkat berpuasa pada bulan ramadhan.Tulisan tuan memaparkan idea yang sangat bernas dan berani sekaligus menyumbang kepada pembangunan negara dan keharmonian rakyat jelata.Diharapkan tuan dapat kerap menulis artikel yang membina seperti ini,elakkan tulisan merapu dan tidak berfaedah seperti kebanyakkan daripada artikel di blog ini.

    Reply
  • September 14, 2010 at 2:42 PM
    Permalink

    menteri amaran buat apa? perkara ini bukan lagi rahsia …masih hendak berdiam diri lagi..apakah selepas terjadi satu pembunuhan atau perkara buruk baru hendak mengambil tindakan?

    Reply
  • September 15, 2010 at 10:22 AM
    Permalink

    RM2 di sempadan negara
    Terima kasih kongsi cerita
    Situasi daulah negara jaga
    Kelemahan bersarang ada

    Minta hishamuddin peka
    Kerjabuat petugas negara
    Bila tugasan sambil lewa
    Kata AMARAN tak guna

    KPI dan NKRA ada kata
    Kalau dibibir hebat jaja
    Beza bikin dengan suara
    PRU 13 jemput bencana

    Reply
  • September 15, 2010 at 2:15 PM
    Permalink

    TOLONGLAH KETAT KAN KAWALAN PINTU MASUK KITA KALAU BOLEH KETAT NYA TU ALA ALA TEMBOK BERLIN BARU LA PARA PENYANGAK NI TAKUT.

    Reply
  • May 16, 2011 at 2:54 PM
    Permalink

    pintu masuk kita akan sukar di bolosi sekiranya pihak berkenaan mengunakan teknik & sistem dari negara jiran kita di selatan selain pemantauan yg lebih sempurna….semua lorong2 kenderaan dan pejalan kaki melintas semasa melepasi pemeriksaan passport mempunyai machine scanner yg kita tidak akan terlepas apabila membawa bahan larangan.kenderaan juga di scan mengunakan sebuah jentera scanner..canggihkan????..negara harus mempunyai sistem ini kerana ini adalah yg terbaik & tidak mudah dibolosi…ini pandangan saya,sebagai seorang rakyat m’sia yg selalu keluar masuk sempadan baik dari utara mahupun di selatan kerana bertugas…meninggalkan anakisteri demi sesuap nasi…USAHAKANLAH…..demi 1M’SIA…

    Reply
  • January 25, 2013 at 11:23 PM
    Permalink

    sme jer mne2 psukan pon, ak pnh trserempak ngn pnyeludup beras, slmber angkut beras dpn anggta TENTERA, xkn x nmpak, bkn skit tp bnyk kmpit…. x cya g area jeram perdah, smpdan ngn mundok..

    Reply

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.